Wednesday, December 28

AYUH BANGKIT!!


Setelah kewafatan Nabi Ibrahim AS, baginda Nabi Ibrahim AS telah meninggalkan agama Hanif yang menjadi anutan bangsa Arab. Namun, setelah sekian lama peninggalan ajaran Nabi Ibrahim AS, agama Hanif mula terhakis dan virus-virus akidah mula merebak dan menjangkiti bangsa Arab.  Amru bin Luhay adalah manusia yang bertanggungjawab mengheret bangsa Arab ke lembah kesesatan. Dia mula memasang berhala, mencipta Bahira, Saibah, Wasilah dan Hami. 

                Maka, berkembang biaklah kesesatan dalam masyarakat Arab. Anutan yang dahulunya didasari dengan akidah tauhid kepada Allah ditokok tambah, diubah, dan ditukar kepada kepercayaan yang karut sehingga jadilah masyarakat Arab sebagai sebuah masyarakat yang hina dan berakhlak buruk. Mereka tidak lagi menyembah Allah kecuali sedikit daripada mereka, bertaqarrub kepada berhala-berhala, tunaikan haji untuk berhala, memberi makan kepada berhala-berhala dan pelbagai lagi kesesatan yang berlaku.

                Bangsa arab mula bertukar akhlak buruk dan mempunyai masalah sosial yang melampau. Mereka berperang sesame kabilah dan pihak yang menang akan menawan wanita-wanita dari pihak yang kalah. Berzina menjadi satu amalan yang tiada malunya. Berjudi dan minum arak menjadi perkara yang rutin. Terdapat perbezaan taraf hidup yang melampau bagi pihak bangsawan dan golongan rakyat. Malah, terdapat lagi masalah-masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan bangsa Arab sehingga Rom dan Parsi yang berada berjiran dengan negeri Arab, tidak berkeinginan untuk menawan mereka kerana mereka mempunyai akhlak yang sangat buruk. Begitulah keadaan bangsa Arab Jahiliyah.

                Lalu, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW yang lahir dari sisa-sisa mulia keturunan Quraish untuk menyeru mereka kembali  berada di atas dasar akidah tauhid dan memperbaiki akhlak mereka. Hasil dakwah Nabi Muhammad SAW, bangsa Arab yang dahulunya hina menjadi mulia. Mereka yang mempunyai akidah sesat mula menyembah Allah. Bangsa Arab yang dahulunya berakhlak buruk, mula mempunyai akhlak yang terpuji. Mereka menjadi mulia dengan kedatangan ISLAM.
               
                Begitu juga yang berlaku kepada bangsa-bangsa lain di dunia. Bangsa Parsi menjadi unggulpada zaman Abasiyah.  Bangsa Turki menjadi masyur pada zaman Turki Uthmaniyah. Bangsa Tartar menjadi gemilang pada zaman Mughal di India. Mereka semua menjadi mulia dan menempa nama dalam sejarah dunia setelah menerima ISLAM.

                Namun, pada tanggal 3 Mac 1924 iaitu tarikh rasmi runtuhnya Empayar Turki Uthmaniyah, masyarakat Islam mula seolah-olah hilang hala tuju. Mereka mula menjadikan bangsa yang meruntuhkan mereka sebagai contoh. Mereka membangun Negara bangsa. Mereka mengikut budaya-budaya kuning. Masyarakat Islam tidak lagi menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan. Perlembagaan barat menjadi anutan. Wang dan harta benda menjadi sembahan. Arahan nafsu amarah tidak boleh dipinggirkan. 

                Masyarakat Islam terpesona dengan dunia. Bunuh, rompak, zina, rogol menjadi kebiasaan. Judi, dan arak adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan. Mereka semakin lalai, terpesong, dan jauh meninggalkan ISLAM di belakang.

                Justeru wahai sahabat-sahabatku, keadaan sekarang tidak jauh bezanya dengan keadaan zaman Arab jahiliyah. AHLAN WASAHLAN dan SELAMAT DATANG wahai sahabat-sahabatku ke dunia realiti JAHILIYAH MODEN. Adakah anda hanya mahu berpeluk tubuh sedangkan didepan anda berlaku masalah zina? Adakah anda hanya mampu menjadi pendengar setia mendengar kejadian bunuh dan rompak?
                AYUH ANAK-ANAK MUDA KITA BANGKIT!!!

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya”

Sunday, December 18

KHAIBAR : SAHABAT KHILAF

Dalam peristiwa Perang Khaibar, terdapat satu peristiwa dimana para sahabat berselisih pendapat (khilaf) dalam mengikuti sabda Rasulullah SAW:

“Janganlah kamu mendirikan solat Asar, kecuali di perkampungan Bani Quraizah.”

Rasulullah SAW bersabda demikian ketika memerintahkan para sahabat untuk memerangi  kaum Yahudi bani Quraizah yang telah bersekongkol dengan musyrikin Quraisy pimpinan Abu Sufian. Justeru perkara ini telah menjadi perselisihan dalam kalangan sahabat disebabkan fahaman yang berbeza . Terdapat para sahabat yang mendirikan solat asar di Khaibar, atas kefahaman bahawa arahan baginda yang juga Rasulullah haruslah dipatuhi. Firman Allah:

“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”
[surah al-Hasyr;7]

Justeru, sabda Rasulullah SAW supaya solat asar didirikan di Khaibar adalah dinggap sebagai satu arahan yang mesti dipatuhi. Apapun maksud disebalik sabda Baginda SAW adalah menjadi hak BAginda SAW sendiri. Sekiranya mereka sampai ke Khaibar dalam waktu Asar, maka dapatlah mereka melakukan solat Asar pada waktunya. Andaikata waktu Asar telah luput ketika mereka tiba di Khaibar, terpaksalah mereka menunaikan solat Asar diluar waktunya (qadha). Namun Tanggungjawab mematuhi arahan Rasulullah SAW perlu dilaksanakan.
                Bagaimanapun terdapat juga segelintir para sahabat mendirikan solat Asar semasa dalam perjalanan, sebelum terbenam matahari. Bagi mereka solat fardhu mestilah dilakukan pada waktunya, selaras dengan firman Allah SWT:

Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah shalat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”
[surah an-nisa’:103]

Mereka berpendapat yang menjadi tujuan utama sabdaan Baginda SAW adalah supaya para sahabat tidak mmbunag masa dan bersegera pergi ke Khaibar. Justeru, Rasulullah SAW memberikan isyarat bahawa solat Asar didirikan di Khaibar. Sekiranya solat Asar dilakukan sebelum meninggalkan Madinah, mungkin mereka akan terlewat tiba di Khaibar. Menirut mereka arahan untuk pergi ke Khaibar sesegera mungkin  adalah satu kaedah Baginda SAW untuk menguasai medan perang di Khaibar. Strategi amat penting bagi menumpaskan musuh islam sebelum mereka menyedari kedatangan tentera islam.

APA KATA RASULULLAH SAW

                Rasulullah SAW tidak memberi sebarang ulasan ketika para sahabat mengadukan perselisihan tersebut kepada Baginda SAW. Ini menunjukkan bahawa perbezaan pedapat dalam masalah furu’ tidak ditegah oleh Baginda SAW sendiri. Lantas timbullah pelbagai mazhab di dalam Islam sebagai satu rahmat khususnya dalam perkara yang berkaitan masalah khilafiah. Namun para mujtahid tetap bersepakat dalam perkara hukum.
                Munculnya pelbagai mazhab di dunia dan imam-imam yang mujtahid selepas zaman sahabat menunjukkan bahawa  umat islam diberi ruang untuk berijtihad dalam perkara khilafiyah. Empat mazhab yang wujud pada hari ini semuanya berijtihad dalam perkara furu’ dalam agama. Masing-masing darpada mereka mempunyai ramai pengikut dan murid, yang berusaha mengemuka dan mengetengahkan pendapat guru mereka. Meskipun begitu, tidak dari kalangan mereka yang fanatik dengan pandangan mazhab mereka malah sedia untuk menerima pandangan mazhab lain. Mereka tidak dianggap sebagai pemecah ummah, sebaliknya kepelbagaian hujah memberikan suatu keluasan pandangan dan memudahkan umat islam dalam menghadapi hidup.

                Dalam masalah furu’, seseorang individu muslim tidak boleh berkeras untuk menekankan pendapatnya sendiri. Tidak boleh menyalahkan pendapat orang lain dan hanya menganggap pendapat dirinya sahaja yang betul. Malah tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendapatnya. Selain itu, mereka mesti menganggap perkara khilaf itu dimaafkan oleh agama, malah diberi pahala oleh Allah dalam ijtihad mereka.
                Melalui cara-cara para sahabat memahami sabda Rasulullah SAW, dapatlah kita mengetahui bahawa masalah khilafiah mempunyai dalil zanni yang tidak mungkin dicabut dalam kehidupan. Setiap muslim berhak membabitkan diri dalam perkara khilafiah. Namun sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap agama, mereka mesti membuat kajian secara mendalam mengenai  dalil-dalil yang berkaitan dengannya. Sehingga segala natijah dan kesimpulan yang berkaitan dengan masalah khilafiyah itu, benar-benar daripada penyelidikan yang besungguh-sungguh bersumberkan dalil Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
                Wallahu’alam...