Konsepnya mudah. Anda lakukan kesalahan yang menepati syarat
hukuman hudud, barulah anda akan terima hukuman. Rata-rata ramai masyarakat
Malaysia yang tidak ada asas dalam kefahaman Islam tidak faham tentang konsep
hudud. Hasil didikan daripada parti pemerintah, mereka menyerang hudud dengan
mengatakan hudud itu zalim, kejam dan tiada belas ehsan dengan pandangan akal
yang dangkal. Sedikit sebanyak akan memberi kesan juga kepada kefahaman yang
salah tentang agama Islam.
Tapi, itu dulu. Sewaktu PAS
mula-mula perkenalkan enakmen Hudud untuk dijadikan sebagai salah satu
perundangan Malaysia. Sekarang konsep Hudud mula difahami ramai penduduk
termasuklah non-muslim yang kelihatan lebih semangat menyokong undang-undang
Hudud jika dibandingkan dengan segelintir penganut Islam itu sendiri.
Konsep Hudud mula diperbahaskan
secara matang lalu tiba-tiba kedengaran suara sumbang UMNO yang turut ingin
melaksanakan Hudud tetapi memberi alasan bahawa persekitaran di Malaysia tidak
kondusif. Selama hampir 55 tahun memerintah, UMNO masih belum mampu mewujudkan
pelaksanaan undang-undang Islam. Malah, segelintir agamawan UMNO turut
mempertikaikan Hudud dengan alasan kanak-kanak bahawa “Habis batu-batu
dijalanan digunakan” dan banyak lagi alasan yang mampu membuatkan kita semua
kering gusi.
Ketika hiruk piruk isu Hudud
hangat diperbahaskan, kedengaran juga kritikan terhadap PAS untuk tidak terlalu
memfokuskan isu Hudud tetapi fokuslah isu Negara Berkebajikan supaya menjadi
satu keyakinan kepada rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya
Umum ke 13 nanti. Namun sebenarnya, isu Hudud perlu dilihat dalam konteks
positif kerana sedikit sebanyak isu ini mampu mencerahkan minda mereka yang
kabur, menjelaskan apakah itu Hudud, menyebabkan ramai masyarakat mengkaji
tentang Hudud dan memberi pertimbangan kepada rakyat adakah wujud Hudud PAS.
Setelah Muktamar PAS yang ke 58
berakhir, ahli-ahli PAS terutamanya mendapat semangat baru untuk menuju ke arah
Negara Berkebajikan sesuai dengan
temanya Negara Berkebajikan Teras Perpaduan. UMNO bagaikan parti bisu, tidak
berbicara langsung tentang muktamar PAS yang telah berlangsung. Mungkin, tidak
menyangka bahawa PAS tidak menunjukkan langsung kelemahan dalam muktamarnya,
malah Tuan Guru Haji Hadi selaku Presiden PAS kelihatan paling bersemangat
ketika muktamar berlangsung.
Teruskan usahamu yang murni,
wahai pejuang-pejuang ansorullah. Moga-moga usaha yang kecil ini mendapat
balasan daripada Allah. Amen…