Tuesday, November 20

HUDUD: APA NAK DITAKUTKAN?

           Konsepnya mudah. Anda lakukan kesalahan yang menepati syarat hukuman hudud, barulah anda akan terima hukuman. Rata-rata ramai masyarakat Malaysia yang tidak ada asas dalam kefahaman Islam tidak faham tentang konsep hudud. Hasil didikan daripada parti pemerintah, mereka menyerang hudud dengan mengatakan hudud itu zalim, kejam dan tiada belas ehsan dengan pandangan akal yang dangkal. Sedikit sebanyak akan memberi kesan juga kepada kefahaman yang salah tentang agama Islam.

Tapi, itu dulu. Sewaktu PAS mula-mula perkenalkan enakmen Hudud untuk dijadikan sebagai salah satu perundangan Malaysia. Sekarang konsep Hudud mula difahami ramai penduduk termasuklah non-muslim yang kelihatan lebih semangat menyokong undang-undang Hudud jika dibandingkan dengan segelintir penganut Islam itu sendiri.

Konsep Hudud mula diperbahaskan secara matang lalu tiba-tiba kedengaran suara sumbang UMNO yang turut ingin melaksanakan Hudud tetapi memberi alasan bahawa persekitaran di Malaysia tidak kondusif. Selama hampir 55 tahun memerintah, UMNO masih belum mampu mewujudkan pelaksanaan undang-undang Islam. Malah, segelintir agamawan UMNO turut mempertikaikan Hudud dengan alasan kanak-kanak bahawa “Habis batu-batu dijalanan digunakan” dan banyak lagi alasan yang mampu membuatkan kita semua kering gusi.

Ketika hiruk piruk isu Hudud hangat diperbahaskan, kedengaran juga kritikan terhadap PAS untuk tidak terlalu memfokuskan isu Hudud tetapi fokuslah isu Negara Berkebajikan supaya menjadi satu keyakinan kepada rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Namun sebenarnya, isu Hudud perlu dilihat dalam konteks positif kerana sedikit sebanyak isu ini mampu mencerahkan minda mereka yang kabur, menjelaskan apakah itu Hudud, menyebabkan ramai masyarakat mengkaji tentang Hudud dan memberi pertimbangan kepada rakyat adakah wujud Hudud PAS.

Setelah Muktamar PAS yang ke 58 berakhir, ahli-ahli PAS terutamanya mendapat semangat baru untuk menuju ke arah  Negara Berkebajikan sesuai dengan temanya Negara Berkebajikan Teras Perpaduan. UMNO bagaikan parti bisu, tidak berbicara langsung tentang muktamar PAS yang telah berlangsung. Mungkin, tidak menyangka bahawa PAS tidak menunjukkan langsung kelemahan dalam muktamarnya, malah Tuan Guru Haji Hadi selaku Presiden PAS kelihatan paling bersemangat ketika muktamar berlangsung.

Teruskan usahamu yang murni, wahai pejuang-pejuang ansorullah. Moga-moga usaha yang kecil ini mendapat balasan daripada Allah. Amen…

Monday, September 24

Ilmu Itu Nur...

Ilmu...

Seringkali setiap manusia pasti terbiasa dengan kalimah "ilmu". Seringkali juga ibubapa mengingatkan anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh. Tidak kurang juga guru-guru sering menasihat pelajar-pelajar agar menuntut ilmu.

Namun, sejauh manakah ilmu itu menusuk hati seorang insan bernama manusia? Sejauh manakah semangat untuk mencari ilmu itu membakar jiwa seorang pelajar? Juga yang paling penting, sebanyak manakah ilmu yang dipelajari itu dipraktikkan dalam kehidupan kita?

Pelajar...

Kalimah pelajar seringkali disinonimkan dengan budak-budak sekolah, mahasiswa-mahasiswa, pemuda pemudi dan sebagainya. Padahal kalimah pelajar merupakan kalimah yang universal. Seorang bapa adalah seorang pelajar. Seorang guru adalah seorang pelajar. Seorang pemimpin adalah seorang pelajar. Malah mereka yang tua juga adalah seorang pelajar!

 Sabda Rasulullah SAW:

"Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap muslim dan muslimat"

Ulama'-ulama' dalam membahaskan hadis ini, ilmu yang wajib dimaksudkan oleh Baginda Rasulullah SAW adalah ilmu fardhu ain yang terbahagi kepada tiga:

1. Ilmu Tauhid

  • Ilmu yang membicarakan tentang rukun iman, i'tiqad terhadap Allah, Nabi-nabi, Rasul-rasul (nubuwwat), dan tentang perkara-perkara ghaib seperti hari kiamat, syurga, neraka dan sebagainya (sam'iyyat)
2. Ilmu Feqah
  • Ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam, sah batal dan sebagainya. Ilmu tentang wudu', solat, mandi janabah, hadas besar, hadas kecil, puasa, zakat dan sebagainya.
3. Ilmu Tasawwuf
  • Ilmu yang membicarakan penyakit-penyakit hati, kaedah-kaedah penyuciannya. Ilmu tentang adab-adab seseorang hamba Allah terhadap orang-orang soleh, adab terhadap para sahabat Nabi SAW, apatah lagi adab terhadap Nabi SAW.
Sabda Rasulullah SAW

" Sesiapa yang Allah hendak kurniakan kepadanya kebaikan yang banyak, nescaya ia diberikan kefahaman dan ilmu yang betul tantang agama"

Sabda Rasulullah SAW

" Seluruh makhluk dilangit dan di bumi meminta ampun bagi orang-orang berilmu"

Sabda Rasulullah SAW

" Tiga Jenis manusia yang dapat memberi syafaat pada hari kiamat: Para Nabi, Ulama' pewaris Nabi, Para Syuhada'."

Sabda Rasulullah SAW
" Dua sifat yang tidak terdapat pada orang-orang munafiq; akhlak yang baik dan kefahaman dalam agama."

Wallahua'lam...